Tamadun Islam yang melatari multi dimensi dalam kepelbagaian etnik, seperti rumpun bangsa Melayu, China dan India dalam masyarakat di Asia menjadi sebahagian daripada tarikan perbahasan peradaban global ilmuan dan cendekiawan dari pelusuk dunia. Melalui peningkatan peranan masyarakat Islam Asia di dalam pelbagai aspek membabitkan isu sejarah Islam & Tamadun, budaya, pendidikan, sosial, sains teknologi, ekonomi dan lain-lainnya, telah membawa kecenderungan agar isu-isu terkini dapat diperbahaskan dan dibincangkan dengan lebih mendalam bagi mendapatkan idea-idea yang baru dan segar sekaligus menyumbang ke arah dinamika ilmu di bawah konteks pembelajaran Tamadun Islam, Tamadun Asia dan Hubungan Etnik di Malaysia khasnya.

Pengajian ilmu Turath Islam pula merupakan identiti USIM. Selaras dengan matlamat integrasi ilmu naqli dan aqli, pembudayaan pengajian Turath Islam bukan sahaja terhad dalam sesi perkuliahan yang formal, malah ia perlu dibudayakan dan diperkenalkan di luar perkuliahan termasuklah kepada masyarakat umum.

Seminar ini adalah gabungan daripada dua seminar terdahulu, iaitu Seminar Tamadun Islam & Tamadun Asia dan Hubungan Etnik (SeTH) yang telah dianjurkan  buat kali ke-4 dan Program Ihya’ Turath Islam (i-Turath) buat kali pertama pada tahun 2015 oleh Pusat Pengajian Teras, USIM.  Maka seminar ini menjadi satu daripada platform interdisplinari diskusi ilmu di antara ilmuwan, pelajar dan masyarakat bagi mewujudkan kerangka berfikir yang bersesuaian dengan pengalaman sejarah, tradisi dan tuntutan agama mengenai hal ehwal Tamadun Islam, Tamadun Asia dan Hubungan Etnik serta pengajian Turath Islam.

Secara keseluruhannya, seminar ini diharapkan mampu menyemarakkan budaya perkongsian dan penerokaan ilmu melalui sesi pembentangan kertas kerja berkaitan oleh para pembentang dari dalam dan luar USIM, sekaligus berusaha ke arah mencapai objektif pendidikan bersepadu di dalam membina potensi masyarakat pelbagai budaya untuk menerajui pembangunan negara.

Seminar ini juga turut memberi peluang penyertaan pembentang dari bidang Sosial Sains merangkumi perbahasan di dalam hal ehwal Pengajian Islam, Ekonomi, Politik, Bahasa & Komunikasi, Sains dan Teknologi, Warisan Kebudayaan Asia, Hubungan Etnik, Pengajian Turath Islam dan lain-lain yang berkait dengan Sejarah, Tamadun Islam, Tamadun Asia, Hubungan Etnik dan Turath Islam.